Selasa, Mei 05, 2009

Ziarah Puteri dekati pesakit


NORYDAL (kiri) dan Ahmad Tajuddin bersama Puteri Paya Besar melawat Hamidah Daut di HTAA, Kuantan, semalam.

KUANTAN: Seramai 40 ahli Puteri Umno Paya Besar menyertai Program Ziarah Puteri di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kelmarin.

Program yang turut disertai Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menyampaikan 84 hamper makanan kepada pesakit wanita di wad 7B dan 7C.

Ketua Puteri Umno Paya Besar, Norydal Othman, berkata Program Ziarah Puteri diadakan setiap tahun untuk berkongsi kesedihan dan penderitaan pesakit.

Beliau berkata, program murni itu diharap meningkatkan lagi semangat dan keyakinan pesakit.

"Perasaan sayu dan sedih jelas tergambar pada wajah ahli rombongan apabila melihat penderitaan mereka yang menghidap pelbagai penyakit.

"Program ini juga bertujuan melawat jururawat dan doktor yang sabar menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan ketika.

"Program ini antara pengorbanan jiwa murni yang dapat dilakukan Puteri Umno Paya Besar tanpa mengira fahaman politik," katanya yang bercadang menganjurkan lebih banyak program kemasyarakatan.

Pada majlis ringkas itu, Puteri Umno Paya Besar turut menyampaikan jambangan bunga dan kek kepada jururawat dan doktor sebagai tanda penghargaan.

Norydal berkata, selain melawat pesakit di HTAA, Puteri Umno Paya Besar mengadakan lawatan meninjau rakyat yang berdepan pelbagai masalah termasuk kemiskinan dari semasa ke semasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan