Sabtu, Mei 09, 2009

Rosnah harap Puteri BN jadi kenyataan

ARAU 8 Mei - Puteri UMNO percaya penubuhan Puteri Barisan Nasional (Puteri BN) yang dicadangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu akan menjadi kenyataan.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin (gambar) yakin sayap baru komponen BN itu dapat direalisasikan tidak lama lagi.

Katanya, sayap BN itu bersifat mustahak dalam usaha mempercepatkan lagi pencapaian matlamat gagasan Satu Malaysia seperti yang dikehendaki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian kepada para pemberita selepas merasmikan Hari Talasemia Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2009, di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh di sini hari ini.

Talasemia ialah penyakit kekurangan sel darah merah yang teruk. Ia diwarisi daripada ibu bapa atau keturunan.

Katanya, Puteri UMNO telah bersedia ke arah itu dan yakin hasrat berkenaan akan mendapat sokongan padu semua jentera parti komponen BN.

''Puteri UMNO akan terus membawa hasrat itu (mewujudkan Puteri BN) melalui persidangannya sebelum dikemukakan ke Perhimpunan Agung UMNO akhir tahun ini," ujarnya.

Katanya, mesyuarat Puteri UMNO peringkat cawangan bermula 15 Mei, kemudian peringkat bahagian pada Julai nanti akan turut memfokuskan kepada penubuhan Puteri BN.

Rosnah berharap, pucuk pimpinan BN dapat merestui cadangan berkenaan bagi memudahkan Puteri UMNO dan rakan-rakan parti komponen BN menzahirkan hasrat itu, terutama bagi membantu menarik sokongan pengundi muda.

Beliau turut mengakui pihaknya telah bersedia untuk diwujudkan Puteri BN tahun ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan