BERTUGAS sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah bank tempatan memberi peluang kepada wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini untuk mendalami ragam manusia. Pelbagai ekspresi dan gaya, semuanya disimpulkan oleh Nurdiyana atau Dian sebagai satu pembelajaran yang berguna untuk dijadikan panduan dalam menempuh kehidupan harian.
Beliau mengakui tatkala berurusan dengan hal berkaitan kewangan, adakalanya golongan wanita agak leka. Sikap inilah yang membawa musibah dan akhirnya golongan ini menjadi mangsa mereka yang kejam.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak bahawa takdir yang menentukan segala-galanya. Ada juga yang cukup berhati-hati namun tetap menjadi perhatian manusia yang tidak berhati perut ini.
"Kerana wang, peragut sanggup bertindak di luar batasan manusia. Mungkin mereka dalam keadaan terdesak, mahu jalan senang dan cepat mendapatkan wang," katanya dalam satu pertemuan di pejabat Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Justeru, Dian mengajak wanita di luar sana untuk meningkat kesedaran dan keprihatinan terhadap masalah itu secara serius serta peka dengan keadaan sekeliling terutama tatkala berseorangan.
Jelasnya, wanita sekarang juga perlu berdikari dan lengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran yang berguna untuk keperluan masa depan. Sambil mengakui terdapat beberapa perkara yang membataskan diri wanita, tetapi dia percaya sikap lebih berhati-hati dan waspada menjadi kunci keselamatan diri seseorang.
Pada masa yang sama, Dian yang berbintang Capricon ini juga mencadangkan agar wanita menglibatkan diri dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menambah pengetahuan juga mengisi masa lapang mereka dengan kegiatan berfaedah.
Ahli Jawatankuasa Puteri UMNO Bahagian Tun Razak ini mengakui kesedaran tentang nasib wanita meningkat sejak beliau aktif menyertai politik beberapa tahun yang lalu.
Sementara itu, Dian yang berpeluang mencuba minyak wangi One Drop Perfumes pada akhir sesi fotografi ini berpendapat jenama ini sesuai untuk wanita aktif sepertinya kerana ketahanan baunya, menjimatkan dan didatangkan dalam pakej yang menarik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan