Selasa, Mei 12, 2009

Jenayah ragut: Puteri UMNO adakan program khas


KUALA LUMPUR 11 Mei - Pergerakan Puteri UMNO akan melaksanakan program khas seni mempertahankan diri serta mengelak daripada menjadi mangsa jenayah ragut yang semakin berleluasa di seluruh negara.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, program berkenaan yang dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat akan dikendalikan oleh biro hak asasi dan kemanusiaan serta biro tugas-tugas khas pergerakan tersebut.

''Jenayah ragut yang semakin berleluasa dan mengorbankan nyawa mangsa merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Puteri UMNO pada hari ini.

''Perincian mengenai program tersebut akan digariskan supaya ia boleh dilaksanakan dalam waktu terdekat,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelas Rosnah, program tersebut akan meningkatkan kesedaran golongan wanita bahawa mereka sentiasa terdedah untuk menjadi mangsa jenayah ragut.

''Ia juga dijangka memberikan pendedahan kepada wanita mengenai cara mempertahankan diri dan mengelakkan jenayah ragut daripada berlaku,'' katanya.

Tambah Rosnah, beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Ketua Wanita UMNO, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam memastikan jenayah ragut negara mampu dibendung.

Minggu lalu, negara dikejutkan dengan dua tragedi jenayah ragut yang mengorbankan nyawa dua orang ibu hamil di Johor dan Kelantan apabila mereka diragut ketika sedang menunggang motosikal.

1 ulasan: