Sabtu, April 25, 2009

Rosnah nafi selisih faham dengan naib

Pelantikan wakil Puteri dalam MT hak Presiden

KUALA LUMPUR: Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menafikan wujud perselisihan faham antara beliau dengan Naib Ketuanya, Shahanim Mohamad Yusoff berikutan orang nombor duanya itu tidak tersenarai sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) lantikan seperti diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu.

Menjelaskan perkara itu, Rosnah berkata, soal pelantikan wakil Puteri dalam MT adalah hak mutlak Presiden Umno dan tidak membabitkan beliau.

"Tidak timbul siapa yang rapat atau tidak (dengan Rosnah), selepas terpilih sebagai Ketua Puteri Umno, saya adalah ketua untuk semua Puteri, tidak pernah timbul masalah antara saya dan Shahanim, beliau sendiri (Shahanim) mengatakan tidak ada masalah tidak dilantik MT.

"Sebelum ini, ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Ketua Pemuda, (Datuk) Azimi Daim dipilih oleh Presiden sebagai wakil Pemuda dalam MT selepas itu, Datuk Norza Zakaria, malah ketika Datuk Noraini Ahmad (sebagai Ketua Puteri), saya sebagai naib tidak duduk sebagai MT," katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Shahanim adalah satu-satunya naib ketua pergerakan yang tidak tersenarai sebagai ahli MT lantikan, sayap Pemuda dan Wanita iaitu Datuk Razali Ibrahim dan Datuk Kamilia Ibrahim, Jumaat lalu dipilih untuk menduduki jawatan berkenaan.

Sementara itu, Shahanim ketika dihubungi berkata, beliau tidak 'kecil hati' dengan pelantikan Dr Wan Norashikin Wan Noordin bagi mengisi jawatan ahli MT lantikan.

Katanya, meskipun menerima banyak panggilan daripada ahli Puteri mengenai pelbagai pandangan, termasuk mengatakan kurang berpuas hati dengan perkembangan itu, beliau tetap berpandangan positif mengenainya.

"Ada yang telefon, mereka agak saya akan mendapat jawatan itu... jadi saya kata tak apalah sebab jawatan itu satu...yang penting ialah komitmen kita (untuk parti)."

"Rosnah tahu apa yang terbaik untuk Puteri, mungkin beliau ada tugas khas untuk saya nanti," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan