Rabu, Jun 23, 2010

PENJARA PUDU AKHIRNYA REBAH KE MUKA BUMI....




KUALA LUMPUR, 22 Jun — Walaupun hanya sebahagian sahaja dirobohkan namun bagi seorang bekas banduan Penjara Pudu, Suharto Abdul Wahab pengalaman sepanjang berada dalam penjara tersebut pasti tidak akan dilupakan sampai bila-bila.


Dia antara ratusan orang yang membanjiri kawasan Penjara Pudu di sini malam tadi.
Katanya, sepanjang tiga tahun menjadi banduan banyak pengalaman dan pengajaran diperoleh dalam penjara tersebut.

“Saya ditahan kerana mengedar dadah dan saya dikenakan hukuman penjara tiga tahun serta tiga sebatan.

“Sepanjang berada dalam penjara banyak saya peroleh termasuk didikan agama. Selain itu saya juga ada melihat beberapa banduan yang bergaduh sesama sendiri kerana tidak berpuas hati antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui semasa kerja-kerja roboh tembok Penjara Pudu malam tadi.

Tembok Penjara Pudu berukuran 394 meter di sepanjang Jalan Pudu dirobohkan dan ia akan mengambil masa sehingga 23 Jun ini bagi membolehkan kerja pelebaran dan laluan bawah tanah Jalan Pudu dilakukan.

Penjara Pudu atau dahulunya dikenali sebagai Pudu Goal terletak di Jalan Hang Tuah mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara tersebut dibuat secara berperingkat- peringkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895.

Tembok penjara yang dibina daripada batu bata yang dilepa dengan simen dan diimport dari negara penjajah Britain, mula dibina pada Februari 1891 dan siap pada Ogos 1892.

Bagi bekas warden, Mohamad Simin, 54, berkata pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan adalah ketika berlaku penawanan dua orang doktor iaitu Dr. Radzi Jaafar dan Dr. Abdul Aziz Abdul Majid oleh enam orang banduan reman yang diketuai oleh Jimmy Chuah pada tahun 1985.

“Saya masih ingat bagaimana dua orang doktor telah dijadikan tawanan oleh enam orang banduan yang mahu melepaskan diri daripada penjara.

“Mereka (banduan) menggunakan gunting dan peralatan doktor sebagai senjata. Kalau tidak silap saya kejadian itu terjadi di bilik rawatan tetapi akhirnya banduan tersebut menyerah diri selepas enam hari,” katanya.

Penjara yang banyak menceritakan kisah suka duka kepada jabatan ini telah mencatat rekod kerana muralnya yang menghadap Jalan Pudu dan Jalan Hang Tuah merupakan mural terpanjang di dunia iaitu sepanjang 384 meter dan tinggi 4.5 meter telah dilukis oleh banduan dengan menggunakan 2,000 liter cat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Siti Saffur Mansor berkata kerja-kerja perobohan tembok Penjara Pudu itu akan mengambil masa selama tiga hari.

“Kita sasarkan ia akan selesai dalam tempoh tiga hari bermula malam tadi dan kerja-kerja ini akan dijalankan dari pukul 10 malam hingga 5 pagi.

“Kita menjalankan kerja-kerja ini pada waktu malam kerana ketika itu jalan raya tidak sibuk jadi ia akan memudahkan perjalanan tugas kami,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lin meminta supaya kerajaan menimbang semula cadangan untuk merobohkan Penjara Pudu yang berusia 120 tahun kerana berpendapat bangunan tersebut merupakan sejarah yang perlu dikekalkan, bukannya dimusnahkan.

“Saya agak terkilan apabila kerajaan mahu merobohkan Penjara Pudu ini kerana bagi saya ia adalah satu sejarah negara yang harus dikekalkan dan dijaga dengan sebaik mungkin.

“Sebagai sebuah penjara yang lama ia perlu dijadikan sebagai warisan negara. Bagi saya ia bukan hanya penjara semata-mata tetapi ia mempunyai nilai sejarah yang penting kepada rakyat,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider juga mendapati ramai yang mahu Penjara Pudu dikekalkan kerana ia mempunyai nilai sejarah tersendiri dan mempunyai banyak nostalgia kepada rakyat.

“Bagi saya adalah lebih baik ia dikekalkan sebagai satu sejarah dan warisan negara yang boleh ditatapi generasi akan datang.

“Jika bangunan ini dibaik pulih dan dibuka kepada umum saya rasa ia boleh memberikan hasil kepada negara,” kata seorang pesara, Yusof Isa, 60.

Bagi Piroz Ahmad Zulkathar, 60, langkah kerajaan merobohkan Penjara Pudu akan menyebabkan generasi akan datang tidak dapat melihat wajah sebenar bangunan itu.

“Banyak nostalgia pernah berlaku jadi bukankah lebih baik jika ia dikekalkan sebagai warisan sejarah negara?” katanya.

Seorang kakitangan awam, Siti Zaleha Sheikh Mohamad, 45, berkata, kerja merobohkan ini amat menyedihkan memandangkan bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah dan seharusnya dijadikan tapak warisan di tengah-tengah bandar raya ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan