Isnin, Disember 14, 2009


Jangan siar berita sentuh sensitiviti perkauman

(Dari surat khabar Sinar)

KOTA DAMANSARA, 13hb Dec 2009 (AHAD) – Media masa di negara ini digesa agar tidak menyiarkan berita yang menyentuh isu perkauman. Setiausaha Agung MIC, S Murugesan berkata, media masa yang cenderung membangkit dan mengkritik melibatkan perkauman perlu dikenakan tindakan tegas oleh kerajaan.

Menurutnya, media masa harus berperanan menjadi medium penting dalam mengekalkan perpaduan antara kaum di negara ini bukan memecahbelahkannya. “Apa yang berlaku sekarang terdapat media yang cenderung untuk menyiarkan kritikan dan cerita yang tidak sepatutnya disiarkan menyebabkan pertikaian timbul terutama membabitkan kaum yang ada di negara ini,” katanya ketika ditemui pada program Sunathon anjuran Puteri UMNO Bahagian Subang di Flat Gugusan Dedap, semalam. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor.

Murugesan berkata, tidak kira media baru ataupun media lama baik cetak ataupun elektronik, apa yang disiarkan harus mempunyai nilai dan tanggungjawab secara menyeluruh kepada khalayak. “Kita minta supaya mana-mana media yang cenderung untuk mewujudkan kontroversi dan menaikkan kemarahan sesuatu kaum secara sedar atau tidak sedar perlu menghentikan penyiaran artikel mahupun berita berbentuk sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai berhubung artikel sebuah akhbar yang menyentuh sensitiviti kaum India di negara ini. Katanya, beliau agak kecewa sekiranya akhbar berkenaan masih berterusan menyiarkan berita seperti itu meskipun mereka tahu kesannya yang dibawanya amat buruk. “Kerajaan perlu ambil tindakan kerana penulisan berita itu dengan jelas mengkritik dan membanding bandingkan kaum India di negara ini dan secara tidak langsung juga membantutkan usaha perpaduan melalui gagasan 1Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan