Isnin, April 20, 2009

Tindakan Adun letak jawatan tanpa sebab

KUALA LUMPUR: Sayap pergerakan Pemuda dan Puteri Umno menyifatkan tindakan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sewenang-wenangnya adalah langkah tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Berikutan itu, Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, mencadangkan satu mekanisme diwujudkan, sama ada dari segi penggubalan undang-undang atau badan pemantauan bagi memastikan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah dikenakan tindakan sewajarnya.

"Sekarang ini tiada akta atau undang-undang. Jadi kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu gubal satu mekanisme supaya wakil rakyat tidak meletak jawatan sewenang-wenangnya.

"Wakil rakyat diberikan mandat dan tanggungjawab, tetapi kemudian meletak jawatan atas sebab peribadi atau kepentingan parti yang akhirnya akan menyusahkan rakyat," katanya selepas melancarkan kempen derma darah untuk Tabung Darah Negara di Kompleks Muhibah, Taman Bolton, Batu Caves, dekat sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai tindakan Adun Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan meletak jawatan dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran pasca siswazahnya serta untuk tujuan membersihkan namanya daripada segala tohmahan kerana beliau sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Di MUAR, Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata sepatutnya selepas menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu, semua wakil rakyat perlu menumpukan tanggungjawab diamanahkan kepada mereka dan bukan sengaja mengosongkan kerusi supaya pengundian terpaksa dijalankan lagi.

"Pilihan raya kecil itu seperti cerita yang tiada kesudahan...meletihkan kerana jika kerusi itu kosong disebabkan kematian, kita boleh menerimanya, tetapi ia disebabkan tindakan sengaja mengosongkan," katanya. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan